PENGURUSAN HUTAN

Polisi dan Strategi

Untuk memastikan HSK diurus secara berkekalan, "Dasar dan Strategi Pengurusan Hutan untuk Semenanjung Malaysia" telah dicadangkan dalam tahun 1976 dan seterusnya diterima sebagai tambahan kepada Dasar Perhutanan Negara. Dasar tersebut digubal bagi memastikan penggunaan sepenuhnya sumber hutan, penghasilan yang berkekalan, faedah sosial dan ekonomi yang maksimum dan kestabilan alam sekitar. Dasar pengurusan serta objektif-objektifnya yang telah diterima adalah seperti berikut :

(i) Untuk mengurus dan menggunakan sumber hutan bagi mendapatkan faedah yang maksimum berdasarkan keupayaan semulajadi dan rancangan pengurusan serta penggunaan tanah hutan yang menyeluruh.

(ii) Untuk menentukan hasil yang berpotensi dengan berpandukan kepada taksiran yang mendalam dan sistematik ke atas sumber hutan, daya ketumbuhannya dan faktor lain yang berkaitan.

(iii) Untuk mengusahasilkan hutan secara konservatif dengan cara tebangan memilih supaya meninggalkan anak benih semulajadi yang mencukupi selaras dengan tebangan yang berekonomik bagi memastikan asas sumber-sumber hutan yang berkekalan.

(iv) Untuk menggunakan dengan sebaik-baiknya sistem pengurusan hutan yang telah dirumuskan berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi daripada teknik-teknik pengurusan yang bersepadu dan kajian-kajian operasi.

(v) Untuk memulihkan semula hutan yang telah diusahasilkan dan hutan miskin supaya dapat menghasilkan stok minimum yang bersamaan dengan dua puluh lima (25) pokok sehektar bagi spesies-spesies dagangan yang berperepang 45 cm pada dada untuk menjamin pengeluaran balak yang berekonomik.

(vi) Untuk menubuhkan ladang hutan dengan spesies-spesies dagangan yang cepat tumbesar serta menggalakkan pelbagaigunaan hutan dan pemeliharaan alam sekitar semulajadi.

Selaras dengan polisi dan objektif-objektif pengurusan hutan yang tersebut di atas, strategi-strategi berikut telah dirumuskan:

(i) Tanah hutan yang akan dibuka untuk projek pertanian hendaklah dirancang dengan teliti agar pengeluaran balak dapat dikawal serta menjamin penggunaan yang maksimum. Peraturan-peraturan untuk tebang habis sesuatu kawasan akan dipatuhi sepenuhnya.

(ii) Tanah berhutan yang tidak terlibat dengan projek-projek pertanian dan sebagainya akan dijadikan HSK dan akan diurus supaya mendatangkan hasil yang maksimum di samping memelihara kualiti alam sekitar.

(iii) Satu sistem inventori hutan yang intensif dengan intensiti sekurang-kurangnya 10 peratus akan dijalankan sebelum penebangan, terutamanya bagi hutan dara, sebagai asas untuk menentukan sistem pengurusan hutan dan silvikultur yang paling efektif. Keutamaan akan diberikan kepada pemulihan hutan semulajadi melalui pengekalan tinggal untuk giliran akan datang.

(iv) Bancian anak pokok akan dipergiatkan ke atas hutan yang telah diusahasilkan untuk menentukan status, kandungan dan kelasnya serta rawatan silvikultur yang akan dijalankan.

(v) Kajian tanah yang lengkap akan dijalankan bagi menentukan kawasan tanaman dan pemilihan spesies-spesies yang bersesuaian.

(vi) Kawasan hutan yang sesuai akan ditentukan untuk dipelbagaigunakan selaras dengan tujuan untuk meningkatkan keperluan beriadah, pemeliharaan tanah dan air dan juga pemeliharaan flora dan fauna.

(vii) Kajian yang mendalam akan diteruskan ke atas produktiviti hutan serta kajian tumbesaran dan pengeluaran dan lain-lain aspek mengenai pengurusan dan pembangunan hutan akan juga dijalankan.

Hutan Dipterokarpa

Hutan dara atau hutan matang (climax forest) bukanlah matlamat utama di dalam pengeluaran hasil. Pengetahuan serta kefahaman mengenai pusingan pemulihan hutan sehingga mencapai tahap kematangan adalah penting dalam menentukan pembangunan hutan semulajadi. Pengetahuan ini adalah amat berguna bagi pengurusan sesuatu kawasan hutan. Matlamat yang paling diutamakan di dalam pengurusan hutan secara berkekalan ialah bagi mendapatkan kadar tebangan tahunan yang seimbang dengan kadar penghasilan berkekalan supaya kenaikan min tahunan bersamaan dengan tebangan tahunan. Dalam hal yang demikian komposisi hutan pengeluaran tidak semestinya sama dengan hutan telah matang.

Hutan di Semenanjung Malaysia telah mula dengan sistematik sejak Jabatan Perhutanan di tubuhkan pada tahun 1901. Amalan-amalan pemeliharaan dan pengurusan hutan yang menitikberatkan aspek-aspek ekologi dan alam sekitar telah digubal untuk menjamin perkhidmatan dan penghasilan yang berkekalan.

Pada awal tahun 1920an, pengurusan sumber hutan dengan cara Departmental Improvement Felling (DIF) telah dijalankan untuk meningkatkan mutu kandungan dirian hutan. Spesies pokok yang kurang bermutu dibuang secara berperingkat-peringkat bagi membantu pertumbuhan pokok-pokok yang bernilai seperti Noebalanocarpus heimii dan pokok-pokok jaras yang berpasaran. Amalan ini kemudian dihentikan kerana telah didapati kurang sesuai berikutan permintaan yang meningkat terhadap kayu api dan kayu jaras di dalam tahun1930an. Dengan itu, di mana sesuai pengurusan hutan secara Commercial Regeneration Felling (CRF) telah diamalkan yang melibatkan penebangan kayu jaras secara berperingkat dalam tempoh 5 tahun sebelum pengusahasilan hutan dibenarkan. Walau bagaimanapun di kawasan yang tidak ada pasaran untuk jenis ini, maka Departmental Regeneration Felling atau Reneration Improvement Felling (RIF) dijalankan di mana pembukaan silara adalah lebih ketara diikuti dengan pemotongan tumbuhan kecil.

Selepas peperangan Pasifik, amalan Regeneration Improvement Felling (RIF) telah dihentikan berikutan permintaan yang meningkat terhadap bahan mentah dengan bertambahnya bilangan kilang papan serta penggunaan jentera berat dalam pengusahasilan hutan. Dalam pada itu didapati bahawa kawasan- kawasan hutan yang telah musnah semasa pemerintahan Jepun dan juga kawasan lapang akibat dilanda ribut terdapat pokok-pokok bersaiz jaras yang mencukupi. Pokok-pokok ini telah membesar dengan cepatnya dari anak benih yang tidak rosak semasa pembalakan dan menjadi tumbuhan unggul(dominant) sementara spesies berpasaran yang lebih lambat pertumbuhannya menjadi tumbuhan separa unggul (sub-dominant). Sebagai contoh, anak benih Meranti (Shorea spp) cepat membesar sebaik sahaja naungan dibuka. Faktor-faktor ini telah menyumbang kepada penggubalan Sistem Sebaya Malaya atau Malaya Uniform System (MUS) di dalam tahun1948. Pada dasarnya sistem ini adalah untuk mengubah hutan hujan pamah tropika yang kompleks dan kaya dengan pelbagai spesies pokok dengan umur yang berbeza-beza kepada hutan yang sebaya umur.

MUS melibatkan penebangan semua spesies pokok matang berukuran 45 cm ppd dalam sekali tebangan serta pembebasan anak-anak pokok terpilih yang berbagai peringkat umur dari jenis kayu keras sederhana dan ringan yang memerlukan cahaya. Operasi tebangan ini diikuti dengan menggelang-racun semua pokok saka dan spesies tidak berpasaran yang berukuran 15cm ppd ke atas. Inventori Hutan Selepas Tebangan dijalankan dalam tempuh 2 hingga 5 tahun selepas tebangan bagi mempastikan anak-anak pokok di atas tanah adalah mencukupi dan seterusnya untuk menentukan rawatan silvikultur yang sesuai.

Sistem Sebaya malaya dahulunya menumpu kepada anak-anak benih yang akan menggantikan dirian sedia ada dan rawatan silvikultur bergantung ke arah pembiakan anak-anak benih ini dan ada kalanya mengabaikan pokok-pokok besar dan anak semulajadi. Oleh itu pokok-pokok yang besar telah digelang- racun untuk membuka naungan kepada anak-anak benih tersebut. Pada masa kini teknik ini kurang digunakan dan rawatan silvikultur ditumpukan terhadap pemeliharaan sumber hutan. Aliran kerja yang terlibat dalam modified MUS.

Sistem pengurusan ini didapati sesuai dan berkesan di Hutan Pamah Dipterokarpa tetapi tidak begitu bagi Hutan Bukit Dipterokarpa disebabkan ole keadaan kawasan yang berbukit dan berkecerunan tinggi, kandungan stok yang tidak menentu, kekurangan anak semulajadi sebelum pembalakan, kekurangan anak semulajadi selepas pembalakan disebabkan oleh ketidaktentuan musim berbunga dan kadar kematian yang tinggi semasa pengusahasilan hutan di kawasan curam dan bercerun serta kadar kehidupan yang rendah khasnya bagi jenis Meranti Seraya Shorea curtisii). Pembukaan naungan yang berleluasa terutama di kawasan tinggi akan menambah risiko hakisan tanah dan akan menggalakkan pertumbuhan belukar serta kelompok-kelompok Bertam (Eugeissona triste).

Kesulitan yang timbul daripada pengurusan silvikultur dan pemuliharaan alam sekitar didalam modified MUS di hutan bukit, didapati tidak begitu sesuai untuk menari pelaboran besar-besaran dalam sektor perhutanan kerana pusingan tebangan yang panjang itu berkehendakkan kepada kawasan hutan yang luas. Memandangkan keluasan tanah yang semakin terhad, salah satu cara untuk mendapat pulangan yang cepat ialah dengan cara menyngkatkan kadar pusingan tebangan atau menambah tebangan dalam satu-satu pusingan. Salah satu perubahan ketara dalam pengurusan hutan tropika di Semenanjung Malaysia sejak kebelakangan ini ialah bahawa dengan terdapatnya pelbagai jenis flora dan spesies kayu balak ianya tidak semestinya mendatangkan kesan yang negatif terhadap dasar dan strategi pengeluaran kayu-kayan negara di masa hadapan. Sebaliknya, hutan yang terdiri daripada pelbagai jenis tumbuhan akan dapat mengawal pemeliharaan tanah dan sumber air serta memperluaskan penggunaan spesies kayu balak di dalam industri perkayuan di masa akan datang.

Perkembangan teknologi pemprosesan kayu yang lebih canggih serta penggunaan kayu yang tiada pasaran masa kini akan menghasilkan barangan yang bernilai pada masa hadapan baik di dalam atau di luar negeri. Dengan itu,Sistem Pengurusan Memilih (SMS) diperkenalkan pada tahun 1978 untuk membolehkan rejim-rejim tebangan yang lebih fleksibel dan menepati tujuan pemeliharaan alam sekitar di samping mendapatkan faedah daripermintaan terhadap kayu-kayan. Lebih penting lagi, sistem ini tidak menggalakkan menggelang-racun bagi pokok-pokok tiada pasaran, ini akan memelihara kayu tersebut dan seterusnya sumber genetik untuk masa depan.

SMS telah dirangka bagi menjamin penghasilan hutan secara berkekalan dengan mengoptimumkan pembangunan hutan. Ia memerlukan pemilihan rejim-rejim pengurusan (had batas tebangan) berdasarkan kepada data-data inventori hutan sebelum tebangan untuk menjamin dirian tinggal yang mencukupi bagi pusingan tebangan akan datang di samping mengekalkan keseimbangan ekologi dan alam sekitar.

Untuk menentukan had-had tebangan minimum yang paling sesuai di bawah sistem ini, Inventori Hutan Sebelum Tebangan (Pre-F) perlu dijalankan untuk mendapatkan taksiran yang tepat mengenai parameter-parameter isi kandungan hutan yang dibanci, bagi semua jenis pokok berperepang 5 cm ppd ke atas serta pokok-pokok berperepang kurang dari 5 cm ppd dengan ketinggian sekurang- kurangnya 15cm. Maklumat-maklumat fisiografi seperti kecerunan, ketinggian, jenis tanah dan aliran sungai perlu direkodkan.

Berdasarkan kepada data-data inventori serta lain-lain data mengenai pasaran dan keadaan sosio- ekonomi semasa, satu rejim pengurusan (had batas tebangan) akan ditentukan bagi pencapaian matlamat yang telah ditetapkan. Peta stok berwarna juga disediakan bagi tujuan pembahagian sesuatu kompartmen kepada beberapa blok kecil berdasarkan isi kandungan pokok dan atau kelas kebesaran.

Dengan itu, pengurusan hutan secara konservatif ini adalah diharapkan dapat memberi faedah- faedah berikut:-

(i) Pemeliharaan dan pengekalan sumber hutan;

(ii) Pengurangan kos kerja-kerja pemulihan hutan;

(iii) Menjamin kestabilan serta kualiti alam sekitar ;

(iv) Pengurangan pembaziran semasa pembalakan: dan

(v) Penggunaan sumber hutan secara optimum.

Dalam pengamalan SMS, untuk mempastikan tebangan kedua dapat dijalankan dalam tempoh 25-30 tahun selepas tebangan pertama dengan pengeluaran isipadu yang ekonomik di antara 30-40 m3/ha, langkah-langkah berikut biasanya dipatuhi:-

(i) Had batas tebangan bagi spesies-spesies dari kumpulan dipterokarpa adalah tidak kurang dari 50 cm ppd, kecuali Chengal (Neobalanocarpus heimii) di mana had tebangan tidak kurang daripada 60 cm.

(ii) Had batas tebangan untuk spesies-spesies dari kumpulan bukan dipterokarpa adalah tidak kurang dari 45 cm ppd.

(iii) Stok dirian tinggal yang merupakan bakal pokok-pokok utama untuk pusingan tebangan akan datang adalah tidak kurang dari 32 pokok sehektar yang terdiri dari pokok-pokok komersil yang subur serta lurus dengan berperepang diantara 30 cm - 45 cm ppd.

(iv) Perbezaan had batas tebangan di antara spesies-spesies dipterokarpa dan bukan dipterokarpa adalah tidak kurang dari 5 cm.

(v)Jumlah peratusan dipterokarpa dalam dirian tinggal yang berukuran 30 cm-45 cm ppd hendaklah sama atau lebih tinggi dari dirian asalnya.

Pada masa kini JPSM mengamalkan SMS sebagai satu sistem pengurusan hutan yang memberi tumpuan kepada kawasan yang besar dengan penggunaan jentera di samping mewujudkan banyak peluang pekerjaan serta memperluaskan skop pekerjaan. Operasi yang semakin canggih ini dipergunakan oleh rakyat tempatan dalam perpindahan teknologi dan menambah kemahiran pengurusan. Aliran kerja yang terlibat dalam Modified MUS

Perancangan hutan dan kajian operasi bersepadu yang dijalankan di Semenanjung malaysia setakat ini memberikan gambaran yang jelas bahawa pengusahasilan hutan bukit dengan tempoh tebangan 25 - 40 tahun dan had tebangan yang bersesuaian akan menghasilkan isipadu yang ekonomik serta dirian tinggal dari pokok berpasaran bersaiz sederhana yang mencukupi untuk tebangan akan datang. Dengan kadar purata tumbesaran perepang 0.8 - 1.0 cm setahun dan pertumbuhan 2.0 - 2.5 m3/ha/tahun isipadu kasar komersil bagi pokok-pokok yang berperepang 30 cm dan ke atas didapati 3/4 daripada kawasan hutan bukit berkeupayaan mengeluarkan 40 - 45 m3/ha dalam tempoh 30 tahun di mana adalah hampir setanding dengan pengeluaran purata hutan dara masa kini. Bagaimanapun, kadar kerosakan ke atas pokok-pokok bersaiz sederhana semasa pembalakan perlu dikawal supaya ianya tidak melebihi 30 %.

Hutan Paya Laut

Hutan Paya Laut telah berjaya diurus dikebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia bagi pengeluaran arang kayu bakau, kayu jaras dan kayu api berasaskan prinsip pengurusan secara berkekalan. Di negeri Perak pusingan tebangan bagi Hutan Paya Laut adalah di antara 20 hingga 30 tahun manakala bagi negeri Selangor dan Johor masing-masing ialah 25 dan 20 tahun. Pokok yang matang selalunya akan ditebang habis (cler-felled) mengikut kawasan tertentu. Walau bagaimanapun hanya pokok yang bersaiz melebihi perepang 7.5 cm sahaja yang akan dikeluarkan. Kayu bakau untuk arang dipotong sepanjang 1.6 m dan kayu api sepanjang 1.5 m. Tunggul dan sisa-sisa pembalakan selepas tebangan akan ditinggalkan untuk proses pereputan. Jika selepas dua (2) tahun didapati tiada pertumbuhan anak benih atau tidak mencukupi maka kawasan-kawasan ini akan ditanam dengan spesies Rhizophora. Selalunya satu atau dua penjarangan untuk kayu jaras dilakukan sebelum tebangan akhir dijalankan dan penjarangan ini dilakukan, contohnya, di kawasan Hutan Paya Laut Matang, Perak dengan menggunakan kayu sepanjang 1.2 m bagi hutan berumur 15 tahun dan 1.8 m bagi hutan berumur 20 tahun.

Tahap Keberkekalan (Sustainable Level)

Berdasarkan hasil penemuan penyelidikan semasa, anggaran konservatif Tambahan Min Tahunan [ Mean Annual Increment (MAI)] bagi hutan yang diurus di bawah giliran tebangan 30 tahun (SMS) ialah 2.55 m3/ha/tahun. Dengan itu, jangkaan pengeluaran hasil kayu selepas mengambilkira kerosakan tebangan 30% (tunggul, balak pendek dll.) ialah 53.6 m3/ha. Bagaimanapun, bagi hutan yang diurus mengikut giliran tebangan 55 tahun (MUS), anggaran konservatif Tambahan Min Tahunan ialah 1.75 m3/ha/tahun dan dengan itu jangkaan pengeluaran kayu-kayan selepas mengambil kira 30% kerosakan tebangan hutan adalah 67.4 m3/ha. Jangkaan pengeluaran ini adalah setanding dengan pengeluaran purata balak masakini di Semenanjung Malaysia. Adalah dipercayai, dengan perkembangan teknologi dan inovasi pemprosesan kayu-kayan yang lebih canggih serta perubahan dalam corak penggunaan kayu di sektor perhutanan di masa hadapan maka kayu-kayan yang tidak berpasaran pada masakini dapat menebusi pasaran antarabangsa dan domestik. Oleh itu, pengeluaran hasil hutan dari HSK adalah dianggarkan sebanyak 4-5 juta m3 setiap tahun.

Untuk mengurus sumber hutan di Semenanjung Malaysia dengan lebih intensif di bawah konsep penghasilan yang berkekalan, kawasan hutan dalam HSK diklasifikasikan mengikut kelas kecerunan serta salah satu atau lebih dari kelas fungsi hutan sebagaimana dikehendaki dibawah Seksyen 10 (1) Akta Perhutanan Negara, 1984: -

(i) Hutan pengusahasilan kayu di bawah perolehan berkekalan .

(ii) Hutan perlindungan tanah.

(iii) Hutan tebus-guna tanah.

(iv) Hutan kawalan banjir.

(v) Hutan tadahan air.

(vi) Hutan perlindungan hidupan liar.

(vii) Hutan simpanan hutan dara.

(viii) Hutan lipur.

(ix) Hutan pelajaran.

(x) Hutan penyelidikan.

(xi) Hutan bagi maksud-maksud persekutuan.