Memelihara Pantai

 

KITA diingatkan oleh mereka yang pakar mengenai perkara ini, kawasan sepanjang pantai (termasuk hutan bakaunya dan segala organisme hidup yang menghuninya) adalah khazanah ciptaan Tuhan yang patut dipelihara untuk generasi masa depan. Bukan dimusnahkan, seperti yang kerap berlaku masa ini.

Pemeliharaan pantai, kata mereka yang arif ini, ada hikmahnya. Malangnya, disebabkan kejahilan kita mengenai hikmah yang terselindung ini, di dorong pula oleh kecenderungan mencari untung yang cepat, banyak kawasan pantai (yang kini diberi istilah baru wetland sanctuary) kini jadi pupus.

Apa benarkah pendapat mereka itu?

Kita diberitahu bahawa hutan bakau yang ada di sepanjang pantai negara kita ini memainkan peranan penting mengekalkan kesejahteraan alam, misalnya:-

  • mengekalkan pusingan bekalan makanan (nutrient);

  • memelihara kualiti air;

  • melindungi kawasan pantai dari hakisan (disebabkan pergerakan air, angin, ombak, hujan ribut, dan sebagainya);

  • menjadi 'habitat' (tempat tinggal) bermacam jenis kehidupan laut.

Selain itu, kita juga difahamkan bahawa hutan bakau merupakan sumber semula bagi yang mempunyai nilai komersial yang tinggi.

Andainya apa yang disebutkan di atas adalah benar (nampaknya tidak ada keterangan sebaliknya yang menunjukkan fakta-fakta di atas itu sebagai tidak benar atau tidak berasas), mengapakah di antara kita sekarang ada begitu ramai sekali yang begitu ghairah memusnahkan kawasan pantai kita - segala-segala atas nama "kemajuan dan pembangunan"?

Tidak lama dulu media tempatan mendedahkan berita bagaimana sebuah kerajaan negeri telah memberi kelulusan kepada sebuah syarikat pemaju membina marina bernilai RM50 juta di sepanjang pantai di negeri berkenaan. Pemaju tersebut sebuah syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur, khabarnya telah menebang dan menjahanamkan beberapa ratus batang pokok api-api di tapak projek berkenaan.

Rupa-rupanya tindakan syarikat menebang pokok-pokok tersebut belum lagi (tidak) direstui oleh kerajaan negeri berkenaan. Setelah perkara ini didedahkan oleh media, kelam kabut kerajaan negeri itu membuat kenyataan bahawa perbuatan syarikat itu adalah satu "kesalahan besar" dan tindakan yang keras akan diambil terhadap syarikat berkenaan - termasuklah kemungkinan membatalkan projek tersebut.

Menteri Besar negeri berkenaan kemudian merasakan dirinya terpanggil untuk memberi penjelasan bahawa syarikat pemaju berkenaan telah "gagal mengemukakan sebarang perancangan" dan "belum lagi mendapat kelulusan rasmi" dari pihak kerajaan negeri untuk memulakan sebarang kerja di tapak projek itu.

Dalam masa yang sama, kita dimaklumkan bahawa kerajaan negeri telah pun mengeluarkan suratan hak milik kepada pemaju berkenaan "dengan syarat bahawa pokok-pokok yang terdapat di kawasan itu, terutama pokok-pokok yang ditanam untuk melindungi kawasan pantai dari bahaya hakisan, tidak boleh ditebang atau dimusnahkan".

Yang agak menghairankan dalam cerita ini ialah bahawa kerajaan negeri berkenaan (menerusi sebuah anak syarikat SEDCnya) memiliki ekuiti sebanyak 10% dalam syarikat pemaju berkenaan. Persoalannya, jika kerajaan negeri sendiri menjadi rakan kongsi dalam syarikat yang memajukan projek marina itu, bagaimana ia boleh "tidak tahu" tentang apa yang hendak dilaksanakan oleh syarikat itu - termasuklah kegiatan menebang pokok-pokok di sepanjang pantai berkenaan? Mustahil tangan kanan tidak tahu apa yang hendak dilakukan oleh tangan kiri.

 

Dua bentuk hakisan

 

Apabila ditanya mengenai perkara itu, jurucakap syarikat berkenaan menyatakan bahawa wakil mereka telah pun "menemui" pegawai-pegawai kerajaan negeri yang terlibat sebelum kerja-kerja menebang dilaksanakan.

Inferensi yang boleh diambil daripada kenyataan wakil pemaju ini adalah seperti berikut. Oleh kerana mereka telah pun menemui pegawai-pegawai kerajaan berkenaan dan mereka tidak ditegah secara nyata atau dilarang secara khususnya, mereka membuat kesimpulan tidak ada salahnya kerja-kerja menebang dijalankan.

Mengikut Prof. Aziz Ibrahim, Ketua Pengarah National Hydraulic Research Institute of Malaysia (NAHRIM), kini terdapat sekurang-kurangnya 74 tempat di sepanjang pantai negara ini yang menghadapi risiko hakisan yang serius. Semuanya berpunca daripada perbuatan manusia sendiri. 74 tempat ini, bila diambil kira kesemanya, merupakan satu pertiga pantai negara, iaitu lebih kurang 4,800 kilometer.

Hakisan yang paling teruk berlaku di pantai timur Semenanjung. Ada bahagian-bahagian jalan raya yang telah serius. Semuanya berpunca daripada perbuatan manusia sendiri. 74 tempat ini, bila diambil kira kesemuanya, merupakan satu pertiga pantai negara, iaitu lebih kurang 4,800 kilometer.

Hakisan yang paling teruk berlaku di pantai timur Semenanjung. Ada bahagian-bahagian jalan raya yang telah rosak disebabkan hakisan pantai yang telah sekian lama berlarutan.

Mengikut Prof Aziz, ada dua bentuk hakisan yang berlaku di negara ini. Satu, hakisan yang berlaku sedikit demi sedikit - iaitu hakisan biasa. Dua, hakisan yang berlaku secara cepat, mendadak, hakisan luar biasa, akibat perbuatan manusia sendiri.

Prof Aziz memberi beberapa contoh betapa projek pembangunan yang dijalankan di kawasan pantai boleh menyebabkan hakisan pantai yang serius. Misalnya, projek pembangunan yang dijalankan di pantai Kelebang, Melaka. Misalnya lagi, kemusnahan hutan bakau yang berlaku di Kuala Selangor.

 

Sementara itu, Dr Mohd. Kamil Yusuff dari Universiti Putra Malaysia menyatakan tidak lama dulu bahawa kerja-kerja pembangunan yang dilakukan di Tanjung Karang, Selangor, telah menyebabkan hakisan yang serius kepada kawasa pantai di situ. Apa yang sebelum ini sebuah pantai landai yang indah kini sudah tidak wujud lagi.

Nasib yang sama menimpa kawasan pantai yang terkenal di Kelantan, Pantai Cahaya Bulan (PCB), dulu di panggil Pantai Cinta Berahi. Sebahagian besar pantai yag indah itu kini telah ditelan semua oleh Laut China Selatan.

Mengikut Dr. Jamaluddin di jabatan Geografi Universiti Kebangsaan Malaysia, hakisan pantai Cahaya Bulan bukan perbuatan alam, tetapi adalah akibat perbuatan manusia. Hakisan pantai ini berpunca dari kerja-kerja endlaman yang dijalankan di Pengkalan Datu, Kelantan, semenjak pertengahan 80-an lalu.

Syukurlah kini sudah ada tanda-tanda yang menunjukkan perubahan sikap di satu dua kerajaan negeri mengenai isu pemeliharaan pantai ini. Misalnya, baru-baru ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Abu Zahar Isnin, mengumumkan bahawa kerajaannya tidak akan lagi memberi kelulusan kepada projek-projek tebus guna pantai yang besar (large coastal reclamation projects) di masa-masa akandatang. Abu Zahar berkata walaupun pembangunan adalah penting untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi negeri, ia tidak akan dilaksanakan jika ia menjejaskan kesejahteraan alam sekitar.

Kita difahamkan bahawa setakat ini, kira-kira 1,214 hektar kawasan pantai antara Tanjung Bidara dan Merlimau telah dikenal pasti sebagai tapak pembangunan tebus guna pantai) oleh 15 syarikat pemaju swasta. Antara 15 projek tebus guna pantai ini, khabarnya dua projek telah pun dimulakan - satu di Bandar Hilir dan satu lagi di Ujong Pasir.

Di Perlis, kerja-kerja tebus guna pantai, dianggarkan menelan belanja RM500 juta, akan melibatkan tiga-suku kawasan pantainya. Soalnya, apakah ia akan diteruskan juga?