Hutan Bakau Perlu Dijadikan
Kawasan Pemuliharaan - Prof. Ong

Hutan bakau perlu diletakkan di bawah satu sistem pengurusan atau dijadikan kawasan pemuliharaan sekiranya masyarakat prihatin terhadap peningkatan kepekatan karbon dioksida dalam atmosfera.

Hasil kajian di Hutan Bakau Simpan Matang menunjukkan bahawa aktiviti manusia ke atas ekosistem hutan bakau adalah salah satu sebab peningkatan paras karbon dioksida atmosferik.

Demikian dinyatakan oleh Prof. Ong Jin Eong sewaktu menyampaikan syarahan umum bertajuk 'Karbon Di dalam Ekosistem Hutan Bakau' sempena pelantikan beliau sebagai profesor. Syarahan tersebut diadakan di Dewan Kuliah 'A' pada 20 Jan. lalu.

Hutan Bakau Simpan Matang yang meliputi kira-kira 40,000 hektar pokok bakau terutamanya Rhizophora apiculata telah diuruskan dengan baik sejak awal abad ini. Ia merupakan satu daripada contoh khas pengurusan secara berterusan yang terbaik bagi hutan hujan tropika.

Menurut Prof. Ong, hutan bakau Matang berperanan sebagai takungan karbon yang mengumpulkan lebih kurang 1.5 tan karbon per hektar per tahun dalam sedimennya. Hanya apabila hutan bakau ditukar menjadi kolam akuakultur, berlakulah pembebasan karbon kembali ke atmosfera iaitu melalui aktiviti penebangan hutan (kehilangan biomassa sebanyak lebih kurang 150 tan karbon per hektar) dan lebih banyak lagi daripada aktiviti pengorekan kira-kira dua meter tanah semasa pembinaan kolam.

"Keadaan ini akan mengembalikan segala yang telah terkumpul di dalam sedimen hutan bakau selama seribu tahun (lebih kurang 75 tan karbon per hektar) ke atmosfera walaupun hanya separuh daripada karbon dalam sedimen hutan bakau yang dioksidakan. Perkara ini adalah risiko tersembunyi hasil daripada pembinaan kolam akuakultur dalam hutan bakau dan merupakan sebab kukuh mengapa pembinaan kolam akuakultur dalam hutan bakau patut dielakkan," ujar beliau.

Prof. Ong dalam syarahannya turut menghuraikan peranan hutan bakau sebagai suatu sistem pengikat karbon yang baik dan cekap. Beliau turut mengemukakan pelbagai data hasil daripada kajian yang dijalankan di Hutan Bakau Simpan Matang dan Hutan Bakau Merbok.

Beliau berkata hasil kajian menunjukkan bahawa di hutan bakau bukan hanya tumbuh-tumbuhan bertindak sebagai pengikat karbon tetapi haiwan juga turut memainkan peranan signifikan dalam pengikatan karbon. Di samping krustasia (yang didominasi oleh ketam), moluska juga membentuk bahagian yang nyata dan signifikan dalam kumpulan fauna bentik di hutan bakau.

"Di kawasan hutan bakau yang berlumpur, kerang iaitu Anadara granosa didapati dalam ketumpatan yang tinggi. Cengkerang haiwan moluska (termasuk juga cengkerang keras bagi teritip dan ketam) berkemungkinan membentuk takungan yang signifikan bagi karbon dioksida. Berdasarkan peranannya mengurangkan gas-gas rumah hijau, terdapat kebaikan dan keuntungan dalam menggalakklan pengkulturan moluska terutamanya kerang dan tiram, di kawasan berlumpur hutan bakau serta laluan air, " ujar Prof. Ong.

Prof. Ong juga telah menghuraikan kaedah-kaedah yang digunakan oleh kumpulan beliau sewaktu menjalankan penyelidikan.

Beliau berkata, salah satu cara untuk menentukan sama ada hutan bakau menjadi sumber atau takungan kepada karbon ialah dengan menentukan fluks karbon yang keluar dari muara hutan bakau.

Beliau telah menjalankan kajian di Merbok dengan menggunakan pendekatan secara hidrodinamik bagi menentukan pertukaran yang berlaku di sempadan air laut.

Bagaimanapun, menurut beliau, kajian yang sedang dijalankan sekarang akan dilengkapkan lagi dengan menggunakan alat kajian yang lebih canggih iaitu model-model ekologi dan matematik.

Tidak ketinggalan dalam syarahan tersebut, Prof. Ong turut memperkatakan tentang bukti paleogeologi mengenai pertukaran paras air laut di Selat Melaka semasa zaman Holocene yang lepas untuk memberikan perspektif yang lebih baik tentang hutan bakau Matang dan Merbok.

Menurut beliau, pengetahuan tentang tindak balas hutan bakau terhadap perubahan paras air laut adalah penting dalam usaha untuk mengurus dan memulihara hutan bakau.